Friday, April 9, 2010

Utamakan Pencegahan Zina!!! Bukan Pendidikan Seks

Seminggu dua ini perasaan penulis bercampur baur dan bercelaru apabila akhbar-akhbar perdana saban hari menyiarkan berita mengenai bayi-bayi yang dibuang. Ada yang bernasib baik masih dijumpai bernyawa, tetapi kebanyakannya telahpun ’kaku’ dalam keadaan yang cukup menyedihkan. Sedikit terubat apabila salah sebuah akhbar perdana melancarkan kempen ’Kami Prihatin’ bagi melibatkan masyarakat awam agar melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat perkara-perkara yang mencurigakan mengenai penderaan kanak-kanak atau pembuangan bayi. Serta kemurahan hati salah seorang EXCO Perak, Y.B. Datuk Hamidah Osman, untuk menjadikan salah seorang bayi yang dibuang sebagai anak angkatnya dengan nama Mahsya Kurnea.








Walaubagaimanapun, perasaan penulis kembali berkecamuk apabila membaca kenyataan demi kenyataan yang dicadangkan bagi mengatasi masalah jenayah membuang bayi ini. Penulis ingin memetik dua contoh sahaja, daripada dua orang wanita yang mempunyai ’kuasa’ politik. Yang Pertama, daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Y.B. Datuk Zainab Nasir. Beliau menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri mewujudkan Pusat Jagaan Khas untuk bayi-bayi yang tidak diinginkan atau dibuang, termasuk bagi remaja yang hamil luar nikah. Memetik pula kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Y.B. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bahawa Kementerian Pelajaran perlu disaran agar memasukkan pendidikan seks dalam kurikulum pembelajaran di sekolah kerana masih ada remaja yang tidak memahami implikasi yang mungkin berlaku jika mereka melakukan hubungan seks di luar nikah seperti mengandung.








Untuk berlaku adil, penulis bersetuju dengan apa juga kaedah yang dicadangkan bagi mengatasi masalah ini. Tetapi cadangan-cadangan yang dikemukakan tidak sedikitpun menyentuh mengenai punca masalah ini berlaku iaitu kebejatan masalah sosial hingga menyebabkan berlakunya masalah zina di mana-mana. Penulis jamin 100% bayi-bayi yang dibuang itu semuanya merupakan anak luar nikah. Justeru itu, penyelesaian yang dicadangkan sepatutnya menjurus kepada aspek meneguhkan kerohanian individu dari segi keagamaan.








Penulis bagi perbandingan, masalah penagihan dadah misalnya. Untuk mengatasi masalah penagihan dadah, maka akhbar perdana melancarkan kempen ’Kami Prihatin’ agar masyarakat awam melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak ’mat-mat gian’ berkeliaran menghisap dadah. Pihak Pemerintah pula disaran memperbanyakkan pusat-pusat pemulihan untuk menempatkan para ’mat-mat gian’ ini dan Kementerian Pelajaran disaran memasukkan subjek Pendidikan Dadah di sekolah-sekolah agar para pelajar diperkenalkan dengan jenis-jenis dadah supaya mengetahui implikasi jika mereka menghisap dadah tertentu yang akan mengundang bahaya. Tetapi, aspek pencegahan iaitu dengan menangkap para pengedar dadah dan makluman mengenai segala benda yang memabukkan/menghilangkan akal adalah haram dari segi agama langsung tak disentuh. Akan berjayakah kempen dan tindakan sebegini?








Jika ditanya pandangan peribadi penulis, sepatutnya pihak Kementerian memperkukuhkan lagi subjek Pengajian Islam serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Subjek Pendidikan Islam sepatutnya tidak terhad semata-mata untuk mengajar para pelajar untuk pandai solat sahaja, tetapi amat luas. Mengambil kira pengalaman penulis yang bukan semua rakan-rakan belajar di Sekolah Agama waktu petang, perkenalkan subjek Munakahat di Sekolah Menengah. Definisi zina sahaja sudah boleh memberi ’hint’ kepada para pelajar apa yang dimaksudkan dengan hubungan intim. Dah perkara ini diimbangi dengan memberi penekanan bahawa ZINA ADALAH HARAM DISISI ISLAM. Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pula bukan sekadar main Bola Sepak untuk pelajar lelaki dan main Bola Jaring untuk pelajar perempuan, aspek mengenai Pendidikan Seks boleh diterapkan secara tidak langsung dalam subjek ini agar tidaklah menjadi kekecohan ibu bapa yang agak sensitif dengan perkataan ’seks’ itu.







Disinilah terletaknya keindahan Islam yang mengharamkan zina. Tujuannya tidak lain adalah untuk memelihara kebajikan ibu dan anak itu sendiri, serta memelihara nasab keturunan agar jelas salasilahnya. Kenapa dipersoalkan kemana menghilangnya ’bapa’ bayi yang dibuang? Bapa dari perkahwinan yang sah pun ada yang tak bertanggungjawab dan membiarkan anak-anaknya tanpa bimbingan, nak mengharapkan si penzina yang hanya tahu berseronok untuk menjaga ibu dan anak luar nikah yang dihasilkannya? Masalah disini sebenarnya bukan sekadar mengenai bayi yang dibuang, tetapi masalah zina!!! Hinggakan akhbar perdana melaporkan secara puratanya hampir 17,000 anak tak sah taraf dilahirkan setiap tahun. Jika angka ini tidak menggerunkan pembaca, penulis hanya mampu berdoa agar Allah melindungi apabila bala bencana dan kiamat tiba tak lama sahaja nanti.

No comments:

Post a Comment